Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut TLDM sentiasa siapsiaga jaga keselamatan perairan negara

TLDM sentiasa siapsiaga jaga keselamatan perairan negara

by Air Times News Network

KOTA KINBALAU, 27 Apr – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sudah bersedia dan sentiasa berada dalam kesiapsiagaan mengawasi perairan Sabah sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman, berkata rondaan di semua kawasan dilakukan seperti biasa, namun mempertingkatkan dari segi ketelitian, kepekaan dan sistem radar.

“Anggota juga diingatkan tidak terbabit secara aktif dalam mana-mana aktiviti politik kerana perlu mematuhi Peraturan Am Angkatan Tentera,” katanya selepas Perbarisan Istiadat Hari Ulangtahun TLDM ke-84 dan Program Perutusan Panglima Tentera Laut, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Panglima Wilayah Laut Dua merangkap Panglima Angkatan Kapal Selam, Laksamana Muda Datuk Abdul Rahman Ayub.

Seramai 43 pegawai dan 280 anggota daripada 10 platun mengikuti perbarisan di padang kawad KD Sri Kota Kinabalu, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

Syed Zahiruddin berkata, sebagai anggota keselamatan negara, semua pegawai dan anggota TLDM perlu bertugas menjaga keselamatan tanpa terbabit dengan sebarang unsur politik namun sangat menggalakkan kesemua anggota untuk melaksanakan tanggungjawab mengundi.

“Seramai 3,200 pegawai dan anggota yang berdaftar sebagai pengundi di sini (TLDM Kota Kinabalu) dan 150 daripadanya akan mengundi melalui pos pada 5 Mei ini kerana berada di perairan ketika hari pengundian,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KD LEKIU buat pertama kali akan belayar merentasi Lautan Pasifik untuk menyertai Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) di Amerika Syarikat, bulan depan.

“RIMPAC adalah latihan tentera laut antarabangsa terbesar di dunia yang akan menjalani eksesais selama tiga bulan,” katanya.

Mengulas mengenai penambahan aset, katanya, dua kapal jenis misi persisir (LMS) yang dibina di China dijangka siap pada Mac tahun depan, disusuli dua lagi akan dibina di limbungan tempatan.

Related Articles

Leave a Reply