Home Politik Pecat 16 ahli, UMNO tidak adil – Haniff Khatri

Pecat 16 ahli, UMNO tidak adil – Haniff Khatri

by Nurulhuda

SHAH ALAM, 21 Apr – Tindakan Umno memecat keahlian 16 individu yang memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk membubarkan Umno di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, disifatkan sebagai satu penghinaan.

Peguam Haniff Khatri Abdulla berkata, keputusan yang diumumkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor itu juga arbitari dan tidak adil.

“Tambahan pula, tindakan Umno ini ibarat cuba campur tangan dengan keadilan. Walaupun mempunyai pengetahuan mengenai tindakan itu dan bahawa 16 ahli berkenaan memohon perintah supaya mahkamah memaksa Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk menggantung semua aktiviti Umno sehingga kes permohonan semakan kehakiman selesai, parti itu bertindak memecat mereka.

“Ini jelas satu perbuatan menghina. Kami akan ambil tindakan,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Tengku Adnan hari ini mengumumkan 16 individu tersebut dipecat berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Tengku Adnan, tindakan mereka jelas bertentangan dengan fasal 20.7 perlembagaan Umno yang menetapkan mana-mana ahli yang memfailkan permohonan atau tindakan ke mahkamah akan hilang keahlian secara automatik.

Haniff berkata, tindakan 16 individu tersebut adalah berdasarkan kepada bahawa Majlis Tertinggi (MT) Umno telah melanggar Perkara 10.16 perlembagaan parti dengan menangguhkan pemilihan sehingga tahun depan.

“Kini, apabila 16 orang ini mengheret RoS dan Umno ke mahkamah, perlembagaan parti yang sama dicabuli oleh MT Umno telah digunakan untuk mewajarkan Umno memecat ahlinya,” katanya.

Menurutnya, saman mahkamah dikemukakan masih sah kerana RoS dinamakan sebagai responden utama dan dua tuntutan pertama mereka kepada mahkamah dibuat terhadap RoS, sementara Umno dinamakan sebagai responden kedua.

Related Articles

Leave a Reply