Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, bermula hari ini Jaafar akan bersama-sama jentera parti dalam menghadapi PRU14 pada 9 Mei ini.

“Jaafar akan bertugas sebagai anggota Amanah dan Ketua Kawasan Kota Raja. Berhubung jawatan beliau sebagai pengarah pilihan raya Amanah Selangor ia akan dibawa dalam perbincangan di peringkat nasional,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Jaafar di sebuah hotel di sini hari ini.

Pertemuan kira-kira sejam itu turut dihadiri antaranya Penolong Setiausaha Amanah Kota Raja, Mohd Norddin Che Omar dan Pengerusi Biro Integrasi Amanah Selangor, S Lakshamanan.

Sementara itu, Jaafar berkata, beliau akan menghantar surat kepada Setiausaha Agung Amanah hari ini berhubung hasratnya untuk menyertai semula parti berkenaan.

Pada Rabu lalu, Jaafar yang keluar daripada Pas dan menyertai Amanah  pada 2016, dilaporkan bertindak keluar parti kerana kecewa dengan sikap kepimpinan parti yang tidak menghiraukan suara anggota parti serta atas beberapa alasan peribadi.