Home Politik Tabik Panglima ATM – Patriot

Tabik Panglima ATM – Patriot

by Nurulhuda

Kuala Lumpur, 15 Apr – Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT), Datuk Mohamed Arshad Raji (B) menyambut baik penjelasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bahawa kesetiaan mereka adalah kepada raja dan negara, bukannya mana-mana parti politik.

Datuk Mohamed Arshad Raji berkata kami memberi hormat kepada Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor atas pengisytiharan terbukanya.

Beliau mengulas kenyataan Raja Mohamed Affandi pada 10 April berhubung perkara itu seminggu selepas menerima kritikan daripada beberapa pihak, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan PATRIOT sendiri.

Ia berikutan gesaannya seminggu sebelum itu agar tentera dan polis bersyukur dan setia kepada kerajaan yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Raja Mohamed Affandi hanya mengikut naratif ucapan Kementerian Pertahanan ketika membuat kenyataan pertama itu” katanya lagi.

Pada masa sama, beliau juga menggesa Raja Mohamed Affandi memberikan jaminan kepada setiap anggota tentera mereka bebas untuk mengundi mana-mana pihak pada PRU kali ini.

Tambahnya lagi, ia bagi menghilangkan sebarang syak wasangka dan kekeliruan di kalangan anggota tentera dan orang ramai.

“Individu yang mengundi pos atau mengundi awal perlu memangkah sendiri kertas undi, dan tiada siapa yang boleh berbuat demikian untuk pihak mereka.

“Tindakan memangkah kertas undi untuk orang lain, selain atas sebab fizikal dan dengan kebenaran untuk berbuat demikian, adalah kesalahan bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Pesalah juga akan berdepan dengan Akta Angkatan Tentera 1972,” katanya lagi.

Related Articles

Leave a Reply