Home Semasa Polis gagalkan ‘Himpunan Tangkap Pencuri’ berarak ke Dataran Merdeka

Polis gagalkan ‘Himpunan Tangkap Pencuri’ berarak ke Dataran Merdeka

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 14 Apr – Polis berjaya menghalang ‘Himpunan Tangkap Pencuri’  yang berlangsung di depan pusat membeli belah Sogo untuk berarak ke Dataran Merdeka hari ini, sekali gus mengelakkan kekecohan.

Terdapat pertengkaran kecil antara pihak polis dan penganjur perhimpunan, namun berjaya dileraikan hasil beberapa kali rundingan pihak polis bersama wakil penganjur perhimpunan supaya tidak meneruskan niat mereka untuk berarak dan terus berhimpun di lokasi berkenaan.

Salah seorang peserta iaitu Mohd Luqman Nurhakim ditahan dan diasingkan sementara oleh polis

Namun, terdapat tiga peserta yang ditahan dan diasingkan sementara dari kumpulan berkenaan kerana cuba mencetuskan kekecohan, namun dibebaskan selepas itu oleh pihak polis setelah berbincang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah, berkata seramai 200 pegawai dan anggota termasuk Pasukan Light Strike Force (LSF) ditugaskan mengawal selia sepanjang perhimpunan berlangsung.

‘Kita berjaya mengawal keadaan dan memastikan perhimpunan ini berlangsung dengan aman dan terkawal, walaupun ada cubaan untuk berarak, kita dapat halang sebelum kira-kira 500 peserta perhimpunan bersurai kira-kira jam 3.30 petang,’ katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Shaharuddin  juga ditanya mengenai tindakannya mengambil kunci lori yang membawa beberapa peserta perhimpunan bersama pembesar suara dan sepanduk, beliau berkata tindakan tersebut diambil kerana mereka berdegil dan mahu terus berarak ke Dataran Merdeka.

“Saya ambil sekejap kunci lori itu dan pulangkan semula, mereka akur dengan arahan untuk tidak berarak,” katanya.

Sementara itu, kira-kira 500 peserta mula berkumpul di perkarangan pusat beli belah SOGO kira-kira jam 2 petang dengan melaungkan kata-kata seperti ‘Reformasi’, ‘Tangkap Jho Low’, ‘Tangkap Najib’, ‘Tangkap Pencuri’ dan ‘Hidup Rakyat’.

Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu, antara pemimpin Pakatan Harapan yang hadir dan memberi ucapan pada perhimpunan yang dianjurkan oleh gerakan ‘Anak Muda Cari Jho Low (AMCJL)’ itu.

Perhimpunan itu bertujuan mengajak anak muda keluar mengundi pada 9 Mei depan selain menggesa pihak berkuasa untuk menangkap dan membuka kertas siasatan terhadap Jho Low berkaitan skandal 1MDB dan juga memiliki kapal Equaminity yang telah ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia.

Acp Shaharuddin menunjukkan memorandum yang diserahkan

Naib Pemuda Amanah, Shaznir Munir turut menyerahkan ‘Memorandum mengesa Ketua Polis Negara berkerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa untuk menangkap Jho Low’ kepada Ketua  Ketua Polis Dang Wangi.

Sementara itu, Shaharuddin berkata pihaknya sudah mengenal pasti penganjur perhimpunan di Jalan Tunku Abdul Rahman hari ini dan akan memanggil mereka yang terbabit dalam masa terdekat.

“Polis akan jalankan siasatan mengikut Sekyen 9 Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 kerana penganjur sudah melanggar peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Tambah beliau, penganjur berkenaan sudah mengadakan pertemuan dengan pihak polis 10 hari sebelum perhimpunan diadakan, namun tidak dibenarkan berhimpun kerana gagal mematuhi syarat yang ditetapkan.

“Penganjur tidak mendapat kebenaran daripada pengurusan pusat beli-belah dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Sekiranya siasatan mendapati ada pelanggaran undang-undang pada hari ini, kita serahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply