Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Manifesto BN dan PH bersifat populis: Tuan Ibrahim

Manifesto BN dan PH bersifat populis: Tuan Ibrahim

by Nurulhuda

PETALING JAYA, 9 Apr – Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kedua-dua manifesto Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bersifat populis, sebaliknya PAS menawarkan polisi yang memindahkan beban cukai daripada rakyat kepada mereka yang layak.

“Ini berbeza dengan manifesto PAS dan Gagasan Sejahtera yang menawarkan solusi untuk menampung tawaran memansuhkan GST, menghapuskan PTPTN, pendidikan serta perubatan percuma dan sebagainya dengan sistem percukaian lebih adil seperti cukai atas simpanan korporat dan cukai saham di Bursa Saham Malaysia,” tambahnya lagi.

Menurut beliau, partinya juga lebih layak untuk menjalankan polisi yang menguntungkan rakyat kerana pemimpinnya lebih jelas bersih daripada rasuah berbanding BN dan PH.

“Ini terbukti apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Paul Low berkata tiada pimpinan PAS yang disiasat atas kes rasuah daripada jumlah 92 pemimpin politik yang sedang disiasat SPRM – di mana 71 terdiri daripada pemimpin BN manakala baki 21 adalah pemimpin PH,” katanya.

PAS yang menggabungkan beberapa parti kecil di bawah Gagasan Sejahtera bertindak tidak bekerjasama dengan parti pembangkang lain seperti DAP, PKR, Amanah dan PPBM, memaksa pertandingan sekurang-kurangnya 3 penjuru di kebanyakan kerusi pada pilihan raya akan datang.

Menurut Tuan Ibrahim, manifesto BN yang dilancarkan Sabtu lepas merupakan pengakuan bahawa Bajet 2018 yang dibentangkan Oktober lalu gagal menawan hati rakyat walaupun disifatkan “termewah” oleh kerajaan.

“Manifesto BN juga adalah satu pengakuan bahawa mereka sudah dapat merasai denyut rakyat yang semakin menolak mereka. Oleh itu rakyat perlu ‘dibeli’ dengan pelbagai ganjaran dan hadiah yang tidak terkandung di dalam bajet termewah Bajet 2018.

“Berapakah peruntukan yang diperlukan untuk menampung manifesto BN sekiranya ia menang lagi, dan berapa lagi peruntukan tambahan yang bakal diminta BN ke atas bajet termewah 2018 untuk menunaikan janji-janjinya?” soalnya.

Related Articles

Leave a Reply