Manifesto yang bersifat inklusif itu menyentuh seluruh lapisan rakyat di negara ini menerusi 14 teras dan 364 inisiatif yang digariskan.

Di hadapan 10,000 penyokong BN, Najib sempat berpantun di depan, ‘jika ada dulang di simpan jangan dibiar jatuh terhempas, jika  ada kuasa di tangan jangan biar orang merampas’.

Antara yang menerima manfaat adalah penduduk luar bandar termasuk warga Felda, pelajar, belia, warga emas, orang kurang upaya (OKU), pes

ara dan wanita.

Inisiatif yang ditawarkan termasuk pemberian kad diskaun perjalanan bagi pengangkutan awam kepada warga emas, golongan OKU, pelajar dan belia yang bekerja.

 Turut terkandung dalam manifesto itu adalah inisiatif membantu rakyat membeli rumah pada harga berpatutan, memperkukuhkan lagi persefahaman antara kaum dan agama serta mewujudkan mekanisme baharu untuk rakyat menyuarakan pandangan dan kritikan terhadap kerajaan.

Tidak ketinggalan, rakyat di Sabah dan Sarawak juga akan menerima manfaat melalui usaha kerajaan mempertingkatkan tahap pendidikan di dua negeri itu serta langkah penyeragaman harga barangan tertentu dengan Semenanjung Malaysia.

Berikut adalah 14 teras yang terkandung dalam Manifesto BN:

1. Ekonomi Keperluan Rakyat

2. Kemampanan dan Kemakmuran Ekonomi Negara

3. Perumahan Keperluan Rakyat

4. Pemacuan Modal Insan dan Kecemerlangan Pendidikan

5. Keselamatan Rakyat Keutamaan Kami

6. Membahagia dan Menjayakan Wanita Negara

7. Generasi Muda Pewaris Masa Hadapan

8. Kesejahteraan Generasi Emas dan Warga Kelainan Upaya

9. Memperkukuhkan Pembinaan Negara Bangsa

10. Mengutamakan Kesejahteraan Sosial dan Kualiti Hidup Rakyat

11. Membina Infra Rakyat dan Meningkatkan Kesalinghubungan

12. Memperkukuh Agenda Bumiputera dan Mempertahan Kesyumulan Islam

13. Tadbir Urus Yang Baik dan Penyertaan Rakyat

14. Meraikan Perbezaan, Merapatkan Jurang