Home PolitikPakatan Harapan Pengerusi DAP Pahang undur diri

Pengerusi DAP Pahang undur diri

by Noor Sheila Amin

Kuantan, 7 April – DAP Pahang goyah apabila pengerusinya, Leong Ngah Ngah, 63, menyuarakan hasrat mengundur diri kerana masih belum mendapat kerusi sesuai untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Wakil rakyat selama enam penggal itu dikatakan menolak untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata dalam Parlimen Cameron Highlands yang dimenanginya pada PRU-13.

Menurut beliau keputusan tidak bertanding DUN Tanah Rata kerana letih melalui perjalanan jauh setiap minggu ke kawasan diwakilinya itu dari rumahnya di Triang, Bera.

“Saya tidak akan bertanding di Tanah Rata pada PRU-14, kedudukannya terlalu jauh, …saya ke sana setiap minggu dari rumah saya di Triang, Bera untuk menjalankan tugas dan perjalanannya amat memenatkan.

“Saya belum tahu lagi kawasan baharu bakal ditandingi pada PRU-14, semuanya bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan apabila pengumuman dibuat, …kalau tiada kerusi sesuai mungkin saya pencen sahaja,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Ngah Ngah menang dengan majoriti 3,144 undi selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ho Yip Kap.

Sebelum PRU-13, Ngah Ngah menang selama lima penggal di DUN Triang dalam Parlimen Bera dan memberi laluan kepada anak perempuannya, Leong Yu Man yang menang dengan majoriti 5,009 undi.

Difahamkan, ada cadangan meletakkannya di kerusi DUN Mentakab dalam Parlimen Temerloh bagaimanapun ia dijangka menjejaskan peluang DAP mengekalkan kerusi itu berikutan perbalahan pemimpin veteran itu dengan pemimpin DAP setempat berpunca akibat pemilihan calon pada PRU-13.

Dalam pada itu, antara pemimpin DAP lain dikhabarkan berpindah kawasan adalah Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang akan bertanding di Parlimen Raub.

Tengku Zulpuri yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan akan menggantikan Datuk Ariff Sabri Abdul Aziz yang dijangka digugurkan berikutan masalah kesihatan dialaminya sejak beberapa tahun lalu.

Mengulas mengenai perkara itu, Ngah-Ngah mengakui nama Tengku Zulpuri adalah antara yang dikenal pasti untuk diletakkan sebagai calon pakatan pembangkang di Parlimen Raub.

“Ya, mungkin beliau akan bertanding sana, …sekiranya parti mengesahkan perkara itu, ia bermakna beliau tidak akan mempertahankan kerusi DUN Mentakab diwakilinya kini.

“Pencalonannya itu bukan atas faktor beliau sebagai pemimpin Melayu yang menggantikan pemimpin Melayu lain (Ariff Sabri) untuk mewakili DAP tetapi sebab berkelayakan dan beliau berasal dari Raub,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply