Home Pertahanan dan Keselamatan Isu kapal TLDM: Jangan buat tuduhan tak berasas – Panglima Tentera Laut

Isu kapal TLDM: Jangan buat tuduhan tak berasas – Panglima Tentera Laut

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 1 Apr – Panglima Tentera Laut, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Bin Haji Ahmad Badaruddin hari ini menyatakan bahawa aset TLDM kekal beroperasi pada tahap tertinggi.

“Aset kerajaan termasuk kapal TLDM adalah pelaburan dari duit rakyat sendiri dan kami pegang amanah untuk menjaganya dengan baik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau diminta mengulas soalan dari media berlanjutan komen Ketua Pemuda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad yang menuduh TLDM mempunyai banyak kapal tersadai. Kenyataan Nik Nazmi dibuat semasa Jelajah Bina Negara di Setiawangsa, semalam.

“Banyak lagi kapal kita tak bergerak, tersadai,” kata Nik Nazmi dalam ceramah tersebut yang turut disiarkan secara langsung di Facebook.

“Jangan buat kenyataan yang tak berasas bahawa banyak kapal TLDM tersadai. Ia boleh mengaibkan serta menjejaskan moral kami sebagai warga TLDM,” tegas Kamarulzaman.

Beliau menjelaskan bahawa memang ada kapal TLDM yang telah berusia dan ada yang telah cecah 50 tahun namun budaya senggaraan (maintenance culture) yang diamalkan oleh TLDM berjaya memastikan tahap kesiagaan TLDM berada ditahap yang tertinggi.

“Untuk mereka yang buat kenyataan palsu ini saya menjemput mereka untuk hadir dan menaiki kapal TLDM dan melawat Pangkalan TLDM semasa Hari Terbuka Armada TLDM kelak,” ujar beliau lagi.

Beliau turut menegaskan agar keupayaan ATM khususnya TLDM tidak dipolitikkan semata-mata untuk agenda politik dan kepentingan peribadi masing-masing.

TLDM pada ketika ini sedang giat meneruskan program Transformasi TLDM khususnya 15-to-5 bagi menggantikan kapal-kapal yang tidak lagi kos-efektif untuk dioperasikan. Program transformasi tersebut bukan sahaja memantapkan keupayaan Armada TLDM tetapi memperkukuhkan pengurusan TLDM dari pelbagai aspek. Ini termasuklah membanteras ketirisan dan meningkatkan proses kerja agar lebih efisien, serta meningkatkan modal insan warga TLDM.

Kesiapsiagaan aset ketenteraan merupakan aspek kritikal yang telah digariskan dibawah Teras Kesiagaan. Teras Kesiagaan merupakan salah satu daripada tonggak teras tahunan yang digariskan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia dan juga Angkatan Tentera Malaysia.

Related Articles

Leave a Reply