Home Politik Persempadanan helah lama BN untuk kekal berkuasa : Chandra Muzaffar

Persempadanan helah lama BN untuk kekal berkuasa : Chandra Muzaffar

by Nurulhuda

Petaling Jaya, 1 Apr – Pengkritik sosial terkenal Chandra Muzaffar berkata persempadanan semula kawasan pilihan raya terbaru yang diluluskan Dewan Rakyat Rabu lepas tidaklah memeranjatkan, lagipun usaha sedemikian pernah dilakukan bagi memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).

“Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melakukan perkara yang sama pada 2003, berdasarkan pencapaian BN pada pilihan raya 1999 selepas ia kehilangan sokongan orang Melayu berikutan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri,” kata Chandra, kini mengetuai Yayasan 1Malaysia.

Beliau berkata pada waktu itu, sempadan kawasan pilihan raya ditentukan semula untuk melemahkan kerusi Melayu bagi melawan sentimen anti kerajaan dalam kalangan pengundi berikutan tercetusnya gerakan reformasi akibat pemecatan Anwar.

“Dia (Mahathir) melakukannya secara terbalik tetapi dengan tujuan yang sama, iaitu kuasa,” katanya.

Pada Rabu lepas, Dewan Rakyat meluluskan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya walaupun dibantah keras Ahli Parlimen pembangkang, yang menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersekongkol dengan BN bagi memastikan kemenangan gabungan itu pada pilihan raya akan datang.

Dr Mahathir, yang kini mengetuai gabungan pembangkang, Pakatan Harapan (PH), menghentam laporan persempadanan itu dan menyifatkannya tidak adil.

Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata persempadanan tersebut akan melahirkan lebih banyak perkelompokan berdasarkan kaum yang akan memecahkan dan melaga-lagakan antara satu sama lain.

Chandra bersetuju persempadanan terbaru, yang mendapat bantahan keras pembangkang, bertujuan memastikan BN terus berkuasa.

Bagaimanapun beliau berkata, walaupun peta kawasan baru itu akan menyaksikan penumpuan kaum tertentu di kawasan pilihan raya tertentu, faktor kaum bukanlah tujuan utama.

“Saya tak percaya faktor kaum merupakan pertimbangan utama, sebaliknya saya percaya ia bertujuan memastikan BN terus memegang kuasa. Ini pertimbangan utamanya,” kata beliau.

“Sesetengah kawasan memang sedia ada mempunyai 55% kaum tertentu, dan 45% kaum lain. Sekarang, nisbah ini mungkin berubah menjadi 75% daripada satu komuniti, dan 25% daripada komuniti lain.”

Chandra memberi amaran persempadanan baru itu mungkin mendorong calon menggunakan sentimen kaum di kerusi yang didominasi kumpulan kaum tertentu.

Beliau berkata perkembangan ini menunjukkan betapa pentingnya SPR menjadi sebuah badan bebas yang tidak tertambat pada mereka yang berkuasa.

“SPR perlu memiliki dan mesti mematuhi prinsip yang menjadi pedomen dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai persempadanan semula kawasan pilihan raya.

“Prinsip yang menjadi pedoman dalam Perkembagaan adalah jelas, dan ia berkait dengan faktor seperti geografi, topografi dan demografi, tetapi tidak sama-sekali menggalakkan pengundian berdasarkan kaum. Apabila ia bercakap tentang kepentingan masyarakat, ia tidak merujuk kepada mana-mana kaum.”

Chandra berkata, mereka yang menggubal perlembagaan tidak menekankan kaum supaya rakyat Malaysia tidak melihat diri mereka berdasarkan kaum.

Related Articles

Leave a Reply