Home Semasa Equanimity: Pemilik kapal cabar rampasan dari segi undang-undang

Equanimity: Pemilik kapal cabar rampasan dari segi undang-undang

by M.Daim

Cayman Island, 30 Mac – Equanimity (Cayman) Limited, pemilik kapal Equanimity yang dirampas di Indonesia pada 28 Februari telah mengeluarkan kenyataan bahawa syarikat tersebut telah mencabar rampasan tersebut dari segi undang-undang.

Kenyataan media yang dikeluarkan turut menyebut bahawa syarikat tersebut sedang mencabar tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat di mahkamah Indonesia dan Amerika Syarikat. Pemilik sah kapal tersebut percaya bahawa tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dan Indonesia telah bertindak di luar undang-undang Indonesia dan Amerika Syarikat.

Pemilik turut dilaporkan mefailkan dokumen pemilikan di mahkamah.

“Tindakan DOJ memfailkan (kes) di California adalah usaha untuk menggunakan dakwaan yang boleh dipertikaikan mengenai tindakan yang diambil sebelum ini bagi menutup tindakannya sendiri yang bercanggah dengan undang-undang di Indonesia.

“Seperti ditunjukkan dalam dokumen mahkamah yang difailkan Equanimity (Cayman) Limited, tindakan DOJ hanya akan menjejaskan nilai pasaran kapal terbabit dengan ketara, selain mendedahkan anak kapal kepada bahaya.

“Tindakan itu tidak perlu sama sekali kerana kami sentiasa sedia menjual kapal berkenaan sementara kes di DOJ masih berjalan. Sekiranya jualan dibuat berdasarkan keadaan pasaran yang mencerminkan nilai sebenar dan mendapat harga yang adil,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di London, semalam.

Equanimity (Cayman) Limited turut mendakwa pendekatan diambil DOJ hanya menjejaskan nilai kapal berkenaan, sedangkan badan itu belum menunjukkan sebarang hak perundangan untuk membuat tuntutan.

Katanya, badan itu juga tidak cuba mendapatkan hak milik kapal mewah itu dengan menghubungi pihaknya, yang sudah menyatakan kesediaan bekerjasama dengan DOJ dan mahkamah AS.

Tambah kenyataan itu, walaupun DOJ boleh mengambil mana-mana tindakan yang dinyatakan itu pada bila-bila masa, namun badan itu memilih jalan yang sebenarnya tidak perlu, mahal dan tidak dirancang dengan baik apabila menyita kapal berkenaan di perairan Indonesia, sekali gus menjejaskan nilainya.

Susulan itu, pada Rabu lalu, Equanimity (Cayman) Limited selaku pemilik kapal, memfailkan jawapan bagi memperbetulkan kesilapan fakta dan salah tafsir dalam dokumen terbaru yang difailkan kerajaan (AS).

Ia mendakwa, bercanggah dengan dakwaan dibuat dalam dokumen difailkan kerajaan (AS) itu, lokasi kapal mewah berkenaan tidak pernah dirahsiakan dan Equanimity (Cayman) Limited tidak mengambil sebarang langkah untuk menjejaskan nilainya.

Malah, dakwanya, Kerajaan (AS) tidak mengambil sebarang langkah untuk membuktikan kesnya atau hak ke atas kapal berkenaan serta tiada penemuan menunjukkan berlakunya sebarang salah laku.

Justeru itu, Equanimity (Cayman) Limited, selaku pemilik ‘The Equanimity’ bertekad meneruskan usaha melindungi hak dan asetnya.

Menurut kenyataan Equanimity (Cayman) Limited, syarikat tersebut itu berhak untuk mengambil tindakan kerana pihak DOJ tidak menghubungi mereka terlebih dahulu sebelum bertindak merampas kapal terbabit.

Related Articles

Leave a Reply