Home Pertahanan dan Keselamatan DSA 2018 tampil kelainan, berjalan serentak dengan NATSEC

DSA 2018 tampil kelainan, berjalan serentak dengan NATSEC

by Air Times News Network

PETALING JAYA, 27 Mac – Penganjuran Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) Ke-16 menampilkan kelainan apabila dijalankan serentak dengan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2018, pada 16 hingga 19 April ini.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, berkata gabungan dua persidangan itu dilihat memberikan impak lebih besar terhadap DSA, membabitkan kerjasama agensi di bawah Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

“Dengan adanya penganjuran dua persidangan ini secara serentak, ia dapat meningkatkan interaksi antara agensi keselamatan iaitu tentera dan polis bersama agensi awam dalam usaha memantapkan tahap keselamatan negara.

“Pada masa sama, penganjuran persidangan itu memperkukuhkan hubungan diplomatik antara pelbagai agensi pertahanan dan keselamatan dengan negara luar yang menyertai program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada siaran langsung Malaysia Hari Ini (MHI) bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun di Studio B, Sri Pentas Bandar Utama, semalam.

Raja Mohamed Affandi berkata, persidangan yang berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu turut menampilkan kelainan dengan memperkasakan agenda wanita melalui penganjuran Forum Women in Defence, (Wanita Dalam Pertahanan), selaras tema hari wanita tahun ini iaitu memperkasakan wanita.

“Forum ini juga akan menjadi saluran untuk membahaskan penyertaan wanita dalam pertahanan dikendalikan oleh ahli panel terdiri daripada wanita yang berjaya dalam bidang pertahanan dan keselamatan.

“Selain itu, terdapat beberapa program lain turut diadakan, termasuk Persidangan Meja Bulat @ Chief of Army Round Table Talk (Chart), Forum Chemical, Biological, Radiological dan Nuclear Explosives (CBRNe), Business to Business (B2B), Forum Putrajaya 2018 dan Program Belia 2018,” katanya yang menjangkakan jumlah pengunjung meningkat tahun ini.

Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata, penganjuran persidangan itu memberi peluang untuk mengadakan perbincangan dengan beberapa ketua polis negara lain atau wakil mereka yang dijangka hadir, termasuk dari Kuwait, Bangladesh dan Sudan.

“Kunjungan ketua polis negara lain memberi peluang kepada kami untuk membincangkan isu berbangkit, termasuk jenayah rentas sempadan dan pengganas.

“Perbincangan akan disertai beberapa jabatan seperti Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (START) serta Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti(JPKK).

“Malah, lebih 100 syarikat akan mempersembahkan produk serta teknologi perubatan pada NATSEC 2018, yang bakal memanfaatkan pemain industri dari dalam dan luar negara,” katanya.

Lebih 100 syarikat bakal mempamerkan produk mereka, selain 350 delegasi dari 45 negara dan 42,000 pelawat dari 70 negara dijangka hadir pada DSA dan NATSEC.

Related Articles

Leave a Reply