Home Politik “Tok Mat tidak berbudaya, tidak bertamadun” – Patriot

“Tok Mat tidak berbudaya, tidak bertamadun” – Patriot

by M.Daim

Kuala Lumpur, 22 Mac – Presiden Patriot Kebangsaan Malaysia, Brigadier Jeneral (B) Dato’ Arshad Raji hari ini mengkritik tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan dalam satu rakaman video yang tular dalam beberapa hari lalu sebagai satu tindakan yang jijik, tidak berbudaya dan tidak bertamadun.

Perkara tersebut disampaikan oleh beliau di dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Persatuan Patriot Kebangsaan pada hari ini.

Menurut Presiden Patriot, tindakan Mohamed Hassan adalah salah dan menggalakkan keganasan. Malah, beliau menganggap tindakan itu sebagai tidak demokratik.

Dalam siaran media yang sama, Patriot mempersoalkan sama ada tindakan Tok Mat adalah berdasarkan kedudukannya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang difikirkan boleh berkata apa sahaja walaupun bertentangan dengan kanun jenayah.

Malah, persatuan tersebut turut mempersoalkan sama ada Tok Mat bertindak sedemikian rupa disebabkan kedudukan beliau sebagai Brigadier Jeneral Kehormat Pasukan Simpanan Tentera Darat memberinya hak untuk mengancam orang awam dan pembangkang.

“Patriot ingin memaklumkan bahawa Jeneral Tentera tidak berkelakuan seperti beliau. Beliau tidak memiliki kehormatan.”

Oleh yang demikian, Dato’ Arshad Raji mengingatkan para ahli politik untuk menjaga tingkah laku serta memberikan tauladan yang baik kepada rakyat. Menurut beliau, ahli politik memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk menyatukan rakyat, menyemai semangat patriotisme dan membina masyarakat yang harmoni.

Presiden Patriot Kebangsaan turut menggesa agar pihak polis menyiasat sepenuhnya ucapan yang dibuat oleh Tok Mat dan menuntut agar Menteri Besar Negeri Sembilan untuk membuat permohonan maaf secara terbuka.

 

Related Articles

Leave a Reply