Home Semasa Apa sebenarnya peminat Malaysia mahu? – Yusoff Mahadi

Apa sebenarnya peminat Malaysia mahu? – Yusoff Mahadi

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi mengkritik sikap segelintir penyokong Malaysia yang sering menunjukkan ketidakpuasan hati terhadap keputusan membabitkan Liga Malaysia.

Terbaharu, penyokong telah mempersoalkan pindaan perlawanan keenam dan ketujuh Liga Super 2018 yang sepatutnya berlangsung pada 30 dan 31 Mac serta 3 dan 4 April ke tarikh yang baharu selepas ia diumum oleh Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), malam tadi.

Dalam entri yang dimuat naik di Facebook rasmi FAM, Yusoff telah menjelaskan mengapa keputusan tersebut (pindaan perlawanan) dibuat dan pada masa sama turut menyindir sikap penyokong yang sering menghentam badan induk itu.

“Seperti yang kita lihat, terdapat peminat-peminat bola sepak di media sosial yang tidak berpuas hati dengan pindaan perlawanan yang diumumkan malam tadi.

“Ingin dinyatakan bahawa penangguhan tersebut adalah disebabkan skuad Harimau Malaya akan menghadapi satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa “A” pada 1 April 2018 dalam usaha kita untuk memperbaiki ranking FIFA.

“Apabila kita tiada perlawanan antarabangsa dan ranking kita jatuh, peminat mengkritik teruk. Sekarang apabila kita cari perlawanan tambahan untuk baiki semula ranking pun peminat kritik juga. Jadi, apa sebenarnya yang mereka mahu?,” soalnya.

Terdahulu, penyokong Harimau Malaya telah mengkritik hebat FAM selepas ranking Harimau Malaya jatuh ke kedudukan paling teruk dalam sejarah iaitu di tangga ke-178.

Related Articles

Leave a Reply