Home SemasaGlobal Kim Jong Un dan Donald Trump Bertemu

Kim Jong Un dan Donald Trump Bertemu

by Noor Sheila Amin

Washington, 10 Mac – Kim Jong Un dan Donald Trump bersetuju berjumpa untuk memeterai perjanjian menyingkirkan senjata nuklear dari semenanjung Korea, kata pegawai Washington serta Seoul.

Penasihat Keselamatan Kebangsaan Korea Selatan, Chung Eui-yong yang berada di Washington selepas perbincangan di Pyongyang berkata: “Saya memaklumkan Trump, pada pertemuan itu Kim menyuarakan komitmennya untuk usaha nyahnuklear.

“Kim berjanji Korea Utara akan mengelak melakukan ujian nuklear atau peluru berpandu lanjut. Dia memahami latihan tentera bersama antara AS dan Korea Selatan mesti diteruskan dan menyatakan hasrat untuk menemui Trump secepat mungkin.”

Trump memaklumkan beliau akan menemui Kim sebelum Mei untuk mencapai persetujuan nyahnuklear kekal.

Sementara itu, pegawai di Seoul berkata, perbincangan akan diadakan sebelum hujung Mei, manakala jurucakap Trump, Sarah Sanders turut mengesahkan pertemuan akan diadakan.

“Kami tidak sabar menantikan usaha nyahnuklear Korea Utara. Sementara itu, semua sekatan dan tekanan mesti tetap diteruskan,” katanya.

Sekiranya pertemuan itu berjaya direalisasikan ia akan menjadi satu detik bersejarah dalam hubungan antara Washington dan Pyongyang yang sentiasa berbalah berhubung isu nuklear.

AS dan Korea Utara adalah musuh ketat sepanjang era Perang Dingin dan berperang dalam perang Korea pada 1950-an.

Dalam dua dekad kebelakangan ini, kedua-dua negara terbabit dalam apa yang dianggap sebagai pertikaian nuklear paling bahaya di dunia dengan lebih 30,000 askar AS ditempatkan berhampiran sempadan di Korea Selatan.

Cita-cita Pyongyang membangunkan senjata nuklear dan peluru berpandu rentas benua yang mampu menyerang wilayah AS adalah masalah yang dihadapi pentadbiran presiden AS terdahulu.

Trump menggunakan strategi dengan meningkatkan sekatan, mengetatkan sekatan diplomatik dan sering mengancam untuk menggunakan kekuatan ketenteraan.

Related Articles

Leave a Reply