Home Semasa Pokok tumbang, dua cedera

Pokok tumbang, dua cedera

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 5 Mac — Seorang penunggang motosikal dan pemboncengnya cedera selepas dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Ampang berhampiran Menara Berkembar Petronas KLCC di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khiruddin Drahman berkata kejadian berlaku pada kira-kira 7.30 pagi.

Beliau berkata kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.

“Dalam kejadian itu, sebuah kereta turut dihempap tetapi pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Ketika ini kerja-kerja pembersihan serpihan pokok tumbang di jalan itu sedang dilaksana oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya ketika dihubungi Bernama.

Kejadian yang berlaku pada waktu puncak ketika orang ramai menuju ke tempat kerja atau urusan lain itu menjurus kepada penutupan sementara jalan, namun anggota polis trafik berjaya mengawal keadaan.

Wartawan Bernama yang berada di KLCC berkata petugas DBKL dilihat bertungkus lumus melakukan kerja-kerja memotong pokok yang tumbang itu kepada beberapa bahagian dengan bantuan jentera berat sebelum dialihkan.

Setakat 10.15 pagi, peringkat akhir kerja pembersihan masih berjalan.

Insiden yang berlaku dalam keadaan cuaca baik itu menarik perhatian orang ramai yang mengambil kesempatan merakamkan gambar dan video serta dikongsikan dalam media sosial. — Bernama

Related Articles

Leave a Reply