Home PolitikBarisan Nasional Umno mahu kerusi parlimen Tanjung Piai

Umno mahu kerusi parlimen Tanjung Piai

by Air Times News Network

PONTIAN, 4 Mac – Umno sewajarnya diberikan peluang untuk meletakkan calonnya bagi kerusi parlimen Tanjung Piai  pada PRU14 nanti.

Ketua Umno Bahagian Tanjung Piai, Datuk Md Othman Yusof berkata, yang menyatakan sudah sampai masanya kerusi yang diduduki calon MCA selama lima penggal itu digilirkan kepada Umno.

Katanya, sebelum persempadanan semula kawasan pilihanraya Pontian kepada Tanjung Piai dilakukan, calon MCA telah diberikan peluang selama tiga penggal untuk menduduki kerusi berkenaan iaitu Goh Lai Heng dan Tan Sri Ong Ka Ting.

“Selepas  persempadanan  semula yang menyaksikan terdapat dua kawasan parlimen di Pontian iaitu Parlimen Pontian dan Tanjung Piai, calon MCA terus diberikan peluang menerajui  Parlimen Tanjung Piai  iaitu Tan Sri Ong Ka Ting sebelum diberikan kepada Datuk Seri Wee Jeck Seng sehingga hari ini.

“Ini bermaksud telah lima penggal MCA menduduki kerusi Parlimen Tanjung Piai, justeru sudah sampai masanya  peluang diberikan kepada Umno pada PRU14 kali ini,”katanya selepas menziarahi bayi Siti Nur Aaira Ameera yang menghidapi penyakit kegagalan hati (bilary  atresia)  di Kampung Sungai Kuali, Serkat.

Katanya, permintaan akar umbi yang mahukan calon Umno bagi parlimen Tanjung Piai sewajarnya tidak disalah anggap kerana semua parti dalam kompenen BN mempunyai kebebasan untuk bersuara.

Menurutnya, calon yang sesuai bagi mewakili Umno adalah Timbalan Ketua Umno Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan berdasarkan kepada pengalaman beliau dalam dunia politik.

“Walaupun MCA telah membuat keputusan tetapi belum mendapat kata putus daripada pucuk pimpinan tertinggi  BN.

“Dalam masa sama Umno juga  telah menunggu terlalu lama untuk diberikan peluang,”katanya.

Januari lalu, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan Datuk Seri Wee Jeck Seng sebagai calon Parlimen Tanjung Piai pada PRU14.

Pengumuman yang dibuat di Bilik Gerakan MCA Bahagian Tanjung Piai itu turut disusuli dengan nama calon bagi Dun Pekan Nanas iaitu Tan Eng Meng.

Md Othman berpendapat, Jeck Seng sepatutnya diletakkan sebagai calon Dun Pekan Nanas bagi merampas kembali kerusi berkenaan yang dimenangi oleh DAP pada PRU13 lalu.

Katanya, pengaruh dan kedudukan beliau sebagi sebagai Pengerusi MCA Tanjung Piai mampu menyaingi calon  Pakatan Harapan pada PRU14 nanti.

“Cadangan ini diharap tidak akan menjejaskan kerjasama dan hubungan dengan semua pihak kerana yang penting adalah kemenangan calon BN tanpa mengira siapa yang bertanding kelak.

“Namun dalam masa yang sama, Umno berharap dapat diberikan peluang,”katanya.

Related Articles

Leave a Reply