Home Pertahanan dan Keselamatan Langkah Setapak Kehadapan oleh Kementerian Pertahanan

Langkah Setapak Kehadapan oleh Kementerian Pertahanan

by Nurulhuda

Kuala Lumpur, 27 Feb – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan dua inisiatif baharu untuk warga dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui pewujudan Amanah Saham Bumiputera Zulu (ASB-Z) dan Tabung Khas bagi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT).

Hishammuddin berkata, skim ASB-Z itu mampu menawarkan pulangan yang lebih, berbanding skim ASB sedia ada. Menurutnya, ia dilakukan dengan kerjasama Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) dengan bank itu menawarkan pakej pembiayaan untuk jangka masa lima hingga 10 tahun bernilai RM14,000 hingga RM140,000.

“Diharap ia akan berjaya memupuk budaya melabur dalam kalangan warga ATM dan meningkatkan taraf sosioekonomi mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis Amanat Menteri Pertahanan 2018 di sini, hari ini.

Beliau berkata, untuk tabung khas Bakat ATM, sebanyak RM815,000 akan diperuntukkan dan akan diagih mengikut jumlah keanggotaan Bakat bagi setiap perkhidmatan. Sementara itu katanya, tujuh lagi inisiatif untuk warga awam Kementerian Pertahanan (Mindef) iaitu peruntukan 500 unit rumah yang bakal dibina di Sungai Besi di bawah inisiatif Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWip), Karnival Jualan Murah secara bulanan pada harga rendah daripada pasaran dan menaik taraf Taska Puspanita Mindef serta mewujudkan Rumah Transit dengan dana tambahan RM30,000.

Beliau berkata, kementeriannya juga akan memperkenalkan bantuan pendidikan khas untuk anak-anak warga awam Mindef yang cemerlang dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu masing-masing RM100 dan RM150 sebulan selama setahun.

“Turut bakal dinikmati golongan berkenaan ialah peningkatan kuota haji daripada 100 orang sebelum ini kepada 200 orang, memperkasa perkhidmatan pendidikan dengan menyediakan Feri Sekolah (bas) di 38 sekolah di dalam kem ATM dan inisiatif terakhir ialah membolehkan warga awam Mindef mendapat rawatan di Hospital Angkatan Tentera dan Poliklinik ATM.

“Saya berharap inisiatif ini dapat dimanfaatkan sebaiknya dan sebagai bukti penghargaan kerajaan terhadap jasa warga ATM, veteran ATM dan warga Mindef,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply