Home Semasa ‘Perginya sebutir bintang’

‘Perginya sebutir bintang’

by Noor Sheila Amin

Seremban, 26 Feb – Pelumba Cub Prix Zaidy Mohamad Zaifaizal Mahendran tidak sempat menyambut kelahiran anak ketiganya apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 22.9 Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dekat Pajam, Nilai, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian pada 2 pagi, pelumba pasukan Motul Yamaha YY Pang berusia 27 tahun terbabit dikatakan dalam perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur.

Isterinya Nurul Ain Nor Azli, 24, yang sarat mengandung lapan bulan hanya mengetahui tragedi menimpa suaminya sebaik dimaklumkan oleh kakak ipar pada 2.30 pagi.

“Ketika itu, saya berada di rumah bersama dua anak lelaki berusia lima dan dua tahun di Selayang (Selangor). Saya terima panggilan daripada kakak ipar memberitahu suami terbabit kemalangan.

“Saya menghubungi telefon bimbit suami untuk mendapatkan kesahihan. Seorang lelaki menjawab panggilan dan memberitahu suami saya sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban.

Menurut Nurul Ain, sebelum kejadian arwah menjemputnya pulang dari bekerja di Kuala Lumpur sebelum keluar semula untuk bertemu rakannya.

Katanya, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan dan dia reda dengan ketentuan Ilahi.

Jenazah arwah dibawa pulang ke kampung halamannya di Batu Feringghi, Pulau Pinang untuk dikebumikan selepas solat Asar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Zaldino Zaludin berkata, siasatan awal mendapati motosikal Yamaha Y15ZR ditunggang mangsa hilang kawalan dipercayai cuba mengelak objek di atas jalan menyebabkannya terbabas ke lorong kanan.

“Pada masa sama, seorang lagi penunggang Dzul Fikar Idris, 27, yang berada di lorong tengah mengelak melanggar motosikal mangsa menyebabkan dia turut terbabas dan terjatuh.

“Zaidy disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Dzul Fikar hanya cedera ringan,” katanya siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Related Articles

Leave a Reply