Home Politik Patriot: Berita palsu penggalak kebencian dan isu perkauman

Patriot: Berita palsu penggalak kebencian dan isu perkauman

by M.Daim

Kuala Lumpur, 26 Feb – Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) menyelar tindakan oleh seorang blogger, Raja Petra Kamarudin pada beberapa hari yang lalu. Raja Petra Kamarudin yang turut dikenali sebagai RPK telah mendakwa penglibatan Robert Kuok dan James Kuok yang menyalurkan dana kepada beberapa parti komponen Pakatan Harapan.

Presiden PATRIOT, Brigadier Jeneral (B) Dato’ Mohamed Arshad Raji, mengulangi semula teguran dari persatuan tersebut kepada semua pihak dari mana-mana blok parti politik, termasuk ahli politik, individu berkepentingan serta ahli cybertrooper menjauhi aktiviti politik yang tidak sihat seperti menyebarkan kebencian dan menghasut.

Presiden PATRIOT bertegas bahawa persatuan tersebut menentang sekeras-kerasnya penyebaran berita palsu.

Beliau turut mendakwa bahawa berlakunya tindakan sesetengah ahli politik yang menggunakan berita palsu adalah tidak wajar kerana ianya satu tindakan yang menggalakkan kebencian dan kekeliruan di kalangan rakyat Malaysia. Selain daripada ahli politik, beliau turut menyatakan terdapat golongan cybertrooper yang bertindak mengitar semula dan menyebar berita palsu demi kepentingan wang.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini, Dato’ Arshad Raji telah menyatakan tindakan RPK yang menyebar berita palsu sebagai satu tindakan yang jahat dan tidak berprinsip. Malah, pihak PATRIOT menindas Raja Petra Kamarudin bahawa beliau hanya berani bertindak sedemikian rupa kerana bersembunyi di Britain tetapi tidak ketika berada di tanah air.

Pihak PATRIOT menyatakan Raja Petra Kamarudin (gambar) hanya berani bertindak menyebarkan berita palsu di laman web kerana beliau bersembunyi di England.

Mengakhiri kenyataan media, Dato’ Arshad Raji sekali lagi menyeru semua ahli politik di tanah air untuk berpolitik secara sihat dan berhemah disamping memberikan fokus kepada isu-isu yang berkait rapat dengan rakyat. Beliau turut meminta ahli-ahli politik untuk menolak politik kebencian yang boleh membawa padah.

Dato’ Arshad Raji menambah, selepas Pilihan Raya Umum ke-14, semua pihak perlu berusaha untuk menyatukan semula perpaduan rakyat Malaysia. Pada hemat beliau yang disiarkan dalam kenyataan media tersebut, perpaduan merupakan benteng terakhir kepada sesebuah negara terutamanya dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa yang dihadapi pada peringkat global.

 

Related Articles

Leave a Reply