Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara Tiga juruterbang TUDM terkorban ketika jalankan tugas dinaikkan pangkat

Tiga juruterbang TUDM terkorban ketika jalankan tugas dinaikkan pangkat

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Tiga juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban ketika menjalankan tugas iaitu mendiang Mejar C. Kayamboo, Allahyarham Mejar Yazmi Mohamed Yusof dan Allahyarham Mejar Hasri Zahari dinaikkan pangkat kepada Leftenan Kolonel.

TUDM dalam satu kenyataan memaklumkan, penganugerahan secara posthumous itu berlangsung dalam satu majlis di Markas Tentera Udara, Wisma Pertahanan di sini hari ini yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

“Penganugerahan pangkat itu disampaikan kepada balu masing-masing iaitu S. Usha, Shofara Izwa Hilmi dan Asysyuhadak Ahmad.

“Penganugerahan itu merupakan tanda penghargaan kepada ketiga-tiga mereka atas jasa yang dicurahkan kepada pasukan dan negara,” jelas kenyataan tersebut, di sini hari ini.

Yang turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Datuk Kamarulzaman Mohd. Othman dan Asisten Ketua Staf Tadbir, Brigedier Jeneral Ahmad Abd. Rahman.

Pada 21 Disember 2016, pesawat angkut jenis Beechcraft King Air 200T yang diterbangkan oleh Kayamboo terhempas berhampiran Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang.

Ia kemudian diikuti nahas melibatkan pesawat Hawk 108 di Chukai, Terengganu yang mengorbankan Yazmi dan Hasri pada 15 Jun 2017.

Related Articles

Leave a Reply