Home PolitikPakatan Harapan PPBM saman ROS bagi menuntut deklarasi status pendaftaran parti

PPBM saman ROS bagi menuntut deklarasi status pendaftaran parti

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 22 Feb – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini memfailkan saman pemula terhadap Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) bagi menuntut deklarasi berhubung status pendaftaran parti itu.

Saman pemula itu difailkan oleh Setiausaha Agung PPBM Datuk Dr Sharuddin Md Salleh selaku plaintif menerusi peguam yang mewakilinya Mohamed Haniff Khatri Abdulla di Mahkamah Tinggi di sini, dengan menamakan ROS sebagai defendan.

Dalam saman pemula itu, PPBM yang ditubuhkan dan didaftarkan sebagai suatu pertubuhan sah pada 8 Sept 2016, memohon deklarasi bagi menuntut ROS mematuhi segala prosedur dan tidak boleh membatalkan parti berkenaan mengikut ketetapan atau peruntukan di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Plaintif juga memohon suatu deklarasi bahawa tindakan ROS yang tidak memberi maklum balas terhadap tiga surat yang dikemukakan adalah bercanggah dengan Akta Pertubuhan 1966 selain menuntut supaya ROS menjalankan siasatan terhadap segala pertikaian berkaitan parti berkenaan.

Turut dituntut perintah untuk menghalang defendan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung PPBM selain menuntut kos dan perintah lain yang sesuai.

Related Articles

Leave a Reply