Home SemasaGlobal Turki Sedia Berperang Jika Perlu

Turki Sedia Berperang Jika Perlu

by Noor Sheila Amin

Damsyik, 21 Feb – Turki bersedia berperang dengan Syria jika rejim Presiden Bashar al-Assad campur tangan membantu pemberontak Kurdish di Afrin yang diperanginya.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, memberi amaran bahawa Russia dan kerajaan Syria akan menghadapi akibat jika campur tangan dalam perang itu.

Erdogan memberitahu Presiden Russia, Vladamir Putin, operasi ketenteraan Turki di utara Syria diteruskan seperti dirancang.

Russia ialah rakan sekutu Bashar dalam perang di Syria dan Erdogan memberi amaran itu kerana terdapat laporan yang mengatakan kerajaan Syria bersetuju membantu kumpulan bersenjata Kurdish dengan menghantar tentera ke Afrin.
Turki memerangi Unit Pelindung Rakyat Kurdish (YPG) di wilayah sepanjang sempadannya. Ankara menganggap YPG dan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) sebagai pengganas.

Menurut laporan media Syria semalam, tentera rejim Bashar akan campur tangan menghalang kemaraan Turki.

AFP melaporkan, Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu, memberi amaran ‘tiada siapa boleh menghalang kami’ dan menegaskan ia bersedia berperang dengan Syria jika perlu.

Operasi tentera Turki di Afrin itu yang dinamakan ‘Olive Branch Operation’ membabitkan serangan tentera darat, serangan udara dan bedilan artileri terhadap kedudukan YPG.

Sementara itu, Reuters melaporkan YPG menafikan ada persetujuan dengan rejim Bashar untuk menghantar tentera kerajaan ke Afrin bagi menghadapi serangan Turki.

“Tiada persetujuan. Hanya panggilan telefon daripada kami supaya tentera Syria datang dan melindungi sempadan,” kata jurucakap YPG, Nouri Mahmoud.

Related Articles

Leave a Reply