Panglima 30 Briged, Brig. Jen. Hashim Aman Shah berkata, menerusi penggunaan teknologi, dapat mengurang atau menggantikan tenaga manusia yang terhad.

Beliau menjelaskan, terdapat UAV di bawah 30 Briged tetapi buat masa ini hanya digunakan untuk tugasan yang tidak melibatkan kawalan sempadan.

“Sekiranya UAV dapat digunakan, saya yakin kawalan sempadan negara dapat dipertingkatkan khususnya di kawasan sama ada tidak berpagar atau berpagar.

“Pada masa ini, kita ada CCTV di kawasan tertentu untuk kawalan keselamatan sempadan sahaja yang berhampiran dengan Imigresen,” katanya di Istana Arau di sini hari ini.

Hashim ditemui bersama Panglima 6 Briged, Brig. Jen. Abdul Aziz Ismail ketika mereka berdua menghadiri majlis menghadap hormat Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Berkenan berangkat sama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Hashim yang baru memegang jawatan itu pada Disember lalu berpengalaman luas selama kira-kira 30 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ini termasuk pernah mengetuai Kontinjen Batalion Malaysia ke Lebanon selama setahun pada 2009 dan berkhidmat selama empat tahun sebagai Penasihat Pertahanan di Singapura.

Dalam pada itu, Hashim memberitahu, 30 Briged akan diperkuatkan denga kehadiran satu lagi batalion daripada Kem Bera dalam masa terdekat.

“Ini menjadikan briged tersebut mempunyai kekuatan sebanyak enam batalion,” ujarnya.