Home SemasaGlobal Tentera China Tanam Pokok

Tentera China Tanam Pokok

by Noor Sheila Amin

Beijing, 21 Feb –  Kerajaan China mengarahkan lebih 60,000 tenteranya menanam pokok dalam misi mengatasi masalah pemanasan global dan pencemaran udara yang membelenggu bandar utama di negara itu.

The Asia Times melaporkan, China menyasarkan kawasan yang ditanam pokok baru seluas 83,915 kilometer persegi iaitu hampir seluas Ireland menjelang 2018.

Puluhan ribu tentera dan anggota polis dikerahkan untuk melaksanakan misi berkenaan.

Kebanyakan askar dikerahkan ke wilayah Hebei yang mengelilingi Beijing yang menjadi penyumbang utama jerebu yang menyelimuti bandar raya berkenaan.

Polis juga ditugaskan di bahagian perhutanan yang baru diwujudkan bagi meronda kawasan hutan terutama di banjaran Greater Khingan yang dianggap ‘paru-paru hijau China’ di wilayah Heilongjiang dan Inner Mongolia.

Ketua Pentadbiran Perhutanan China, Zhang Jianlong juga berikrar untuk menanam sekurang-kurangnya 6.66 juta hektar hutan baru pada tahun ini.

Kerajaan China mengambil beberapa langkah bagi mengatasi masalah pencemaran udara berkenaan termasuk merancang membina mesin penapisan udara yang besar di Beijing.

Pada awal bulan ini, China mengumumkan pembinaan bandar hutan pertama di dunia di mana semua bangunan diliputi dengan tumbuhan dan pokok bagi mengatasi masalah pencemaran udara dan pemanasan global.

Bandar Hutan Liuzhou boleh menempatkan 30,000 penduduk apabila siap beberapa tahun lagi.

Ia lengkap dengan pejabat, hotel, hospital dan sekolah yang hampir semua bangunan itu diliputi sejumlah 40,000 pokok dan 1 juta tumbuhan daripada 100 spesies.

Jerebu yang teruk di bandar besar di China menyebabkan kerajaan tertekan untuk menangani punca pencemaran ketika negara itu bergantung pada arang batu sebagai sumber utama untuk menjana elektrik.

Related Articles

Leave a Reply