Home Pertahanan dan Keselamatan PLKN bukan kem percutian – JLKN

PLKN bukan kem percutian – JLKN

by M.Daim

Kuala Lumpur, 20 Feb – Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) hari ini membidas kenyataan yang menyatakan PLKN adalah seumpama kem percutian. Kenyataan yang dimuatkan dalam kandungan sesetengah portal yang bertajuk “PLKN macam kem percutian, kata PATRIOT” telah mendapat perhatian pihak JLKN.

Melalui siaran media, pihak JLKN memaklumkan bahawa perancangan transformasi PLKN telah bermula dengan perlaksanaan Makmal Transformasi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) selama 5 minggu pada tahun 2015. Perlaksanaan makmal ini adalah bagi menyahut seruan kerajaan Malaysia semasa ucapan Bajet 2015.

Bajet 2015 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib pada tahun 2014 menyaksikan pengumuman strategi pertama dalam Pelan Transformasi Belia Negara, iaitu untuk ‘mengkaji semula PLKN dengan satu konsep baharu yang menjalinkan keperluan kemahiran dan kenegaraan’.

Makmal Transformasi Program Latihan Khidmat Negara.

Sehubungan dengan itu, perlaksanaan Makmal Transformasi Program Latihan Khidmat Negara dijalankan bagi mendapatkan maklum balas pihak berkepentingan berhubung transformasi yang ingin dilaksanakan terhadap PLKN. Antara pihak yang memberikan pandangan adalah wakil kementerian, agensi kerajaan, pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO), pemain-pemain industri, golongan muda, serta pihak yang berkaitan terus dengan program PLKN seperti operator kem PLKN, Alumni PLKN, jurulatih PLKN dan ibu bapa.

Objektif utama makmal tersebut adalah bagi menghasilkan satu resolusi yang kemudiannya dibentuk menjadi “blueprint” atau strategi asas untuk menjayakan transformasi PLKN.

Transformasi PLKN 2.0 merupakan salah satu daripada Hala Tuju Mindef yang telah digariskan oleh Kementerian Pertahanan sejak beberapa tahun kebelakangan. Foto: www.khidmatnegara.gov.my

Menurut siaran media yang dikeluarkan oleh pihak JLKN, Makmal Transformasi ini telah menghasilkan konsep PLKN yang dilaksanakan secara sukarela dan dilaksanakan dalam 2 fasa.

Fasa 1

Fasa 1 adalah dimana pelatih-pelatih PLKN akan menjalani latihan Modul Pembelajaran Bersepadu (Integrated Learning Programme) yang mengandungi 8 modul baharu. Fasa ini dilihat menekankan aspek sahsiah, personaliti dan kerohanian.

Antara modul baharu dalam Fasa 1 adalah modul Fit4Life, Tech+Talk, i-Upgrade, Malaysiaku, “Be Safe, Be Alert”, Service Learning, Kerohanian dan myFuture. Modul-modul ini telah dibangunkan oleh tenaga pakar dalam bidang masing-masing (Subject Matter Expert, SME) dan dilaksanakan selama 8 minggu di Kem PLKN.

Fasa 2

Fasa 2 pula dilaksanakan sebaik sahaja latihan Fasa 1 tamat. Dalam fasa ini, pelatih akan mengikuti latihan bidang kemahiran di lebih 400 Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) atau Institusi Latihan Kemahiran Swasta (ILKS). Tempoh latihan ini adalah minimum 3 bulan sehingga 36 bulan maksimum.

Latihan pada fasa ini adalah bermatlamatkan untuk meningkatkan bilangan pekerja mahir pada masa hadapan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga mahir dari kalangan pekerja asing, sebagaimana yang dapat kita lihat pada hari ini.

Transformasi PLKN 2.0 menekankan pelbagai aspek sahsiah dan kemahiran individu serta mempertingkatn semangat patriotisme dan cintakan negara. Foto: Air Times News Network

Maklum Balas Pelatih dan Bekas Pelatih

Bagi menilai keberkesanan program transformasi PLKN, pihak JLKN telah mendapatkan beberapa pandangan daripada bekas pelatih PLKN 2.0 dari beberapa kem.

Seorang pelatih dari Kem PLKN Princess Haliza, Koh Man Yee, memaklumkan kepada pihak JLKN bahawa PLKN memberikan manfaat kepada dirinya dan meningkatkan lagi rasa cinta terhadap negara. Koh Man Yee merupakan pelatih kumpulan 1 Siri 14/2017.

Pendapat beliau turut disokong oleh Pengerusi Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN), Mohamad Nazrin Faiz bin Che Abd Aziz. Menurut Mohamad Nazrin, PLKN 2.0 adalah inisiatif baharu kerajaan yang masih mengekalkan teras utama dalam membentuk jati diri dan semangat patriotisme dalam kalangan belia.

Tambah beliau, program ini membentuk keyakinan dan nilai tambah kepada seseorang termasuk dirinya dalam aspek komunikasi di khalayak ramai. PLKN 2.0 juga merupakan satu platform yang membina kerjaya pada masa sekarang dan memberi peluang pekerjaan kepada generasi muda dalam sektor tenaga mahir.

Keberkesanan PLKN 2.0 turut diperakui oleh seorang lagi pelatih, Cecilia Raj a/p Selvaraj. Menurut beliau, PLKN 2.0 banyak memberikan peluang yang lebih untuk mengenali dan memahami akan kepentingan hidup secara harmoni dalam masyarakat yang berbilang kaum di negara.

Beliau yang merupakan pelatih kumpulan 3 Siri 6/2009 di Kem PLKN Segari menegaskan, masalah perkauman boleh tercetus disebabkan kurangnya semangat perpaduan dalam diri setiap individu.

Sehubungan itu, pihak JLKN mengambil maklum akan isu yang tersebar di beberapa portal dalam talian yang bertajuk “PLKN macam kem percutian, kata PATRIOT” dan berpendapat dakwaan oleh pihak PATRIOT adalah tidak tepat berbanding dengan keadaan sebenar.

Related Articles

Leave a Reply