Home Semasa Peraturan pilihan raya sekarang ‘ciptaan’ Abdul Rashid

Peraturan pilihan raya sekarang ‘ciptaan’ Abdul Rashid

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 14 Feb – ‘Sistem atau proses pilihan raya tidak adil. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berat sebelah. Langkah persempadanan semula adalah bodoh.’

Itulah antara kritikan keras mantan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman selepas bersara pada 30 Disember 2008 dan menyertai parti politik serta dilantik sebagai pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Sedangkan beliau lupa selama 27 tahun berkhidmat dengan SPR sebagai Setiausaha selama 16 tahun dari tahun 1979 hingga tahun 1995, kemudian dinaikkan jawatan Timbalan Pengerusi SPR pada tahun 1997 hingga tahun 2000 sebelum diberi tanggungjawab mengendalikan sepenuhnya organisasi itu sebagai pengerusi pada tahun 2000 hingga tahun 2008.

Segala perundangan, peraturan dan kod etika yang dilaksanakan oleh SPR sehingga kini adalah yang dirangka, dirancang dan diperkenalkan oleh Abdul Rashid sendiri

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof

Ini disahkan oleh mantan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof  dan perkara yang ditinggalkan oleh rakannya itu adalah peraturan yang mesti dilakukan mengikut undang-undang, perlembagaan, akta pilihan raya, kaedah pilihan raya dan kod etika.

“Saya ingin menyatakan, banyak peraturan dan pindaan undang-undang serta kod etika yang dijalankan oleh SPR skarang ini adalah yang dirangka, dirancang dan diperkenalkan oleh Tan Sri Rashid.

“Sebab, untuk menjalankan (mengadakan proses) pilihan raya ini, kita mesti mengikut undang-undang. Klau tidak, kita akan dituduh melakukan sesuka hati,” katanya dalam pertemuan dengan badan bukan kerajaan Selangor, semalam.

Justeru, Abdul Aziz kesal dan kecewa dengan tindakan parti politik dari pembangkang yang menjalankan kempen undi rosak.

Katanya, selama ini SPR turun memberi penerangan dan mengadakan kempen keada pengundi supaya keluar mengundi untuk memilih calon atau parti yang disukai, tetapi usaha itu cuba digagalkan oleh pembangkang termasuk Abdul Rashid yang menggalakkan pengundi melakukan undi rosak.

“Perbuatan ini sudah tidak sesuai. Sepatutnya sebagai bekas Pengerusi SPR, yang telah meninggalkan pelbagai peraturan dalam  SPR, memberi penerangan, penjelasan, pengajaran kepada pegawai SPR supaya membuat perkara yang betul dan dikehendaki undang-undang, dia menghormatinya walaupun berada dalam parti politik.

“Sepatutnya juga dia mesti ingat perkara yang dia buat sebelum ini, supaya kalau pengundi itu keluar mengundi hendaklah digalakkan dan minta mereka mengundi cara yang betul, sebagaimana kita latih kepada pegawai kita dan parti politik.

“Tetapi sebaliknya pula berlaku selepas meninggalkan SPR (kerana bersara wajib). Menggalakkan supaya pengundi buat undi rosak,” ujarnya.

Mengenai dakwaan berlaku ketidakadilan dalam proses pilihan raya, Abdul Aziz berkata, semua peraturan, undang-undang dan kaedah itu ‘dicipta’ pada zaman Abdul Rashid sendiri.

Berhubung kempen undi rosak pula, katanya, walaupun daripada segi undang-undang ada perkara yang tidak boleh diambil tindakan terhadap seseorang jika dia melakukan undi rosak, tetapi dari segi moralnya tidak elok.

Beliau berharap, Abdul Rashid yang meninggalkan pelbagai dokumen dalam institusi SPR ingat apakah kod etika sebagai pengundi, peraturan dan undang-undang sebelum pengundi masuk mengundi dan apakah mereka patut buat.

“Ingat perkara itu dan janganlah pula menggalakkan kepada orang supaya mengundi rosak. Saya eloklah dia menggalakkan pengundi keluar mengundi, seberapa ramai yang boleh mengundi calon yang mereka suka.

“Tapi mungkin dia sekarang sebagai ahli politik dan mungkin cara pemikirannya sudah berbeza dari dulu sebagai Pengerusi SPR.

“Bukan saja sebagai Pengerusi SPR, dia juga sebagai Setiausaha SPR begitu lama. Segala dan dokuman yang ditinggalkan dalam SPR masih banyak lagi ada sampai sekarang,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply