Home PolitikPakatan Harapan Azmin tak layak jadi pemimpin, gagal tangani isu agih kerusi – PAN Selangor

Azmin tak layak jadi pemimpin, gagal tangani isu agih kerusi – PAN Selangor

by Air Times News Network

SHAH ALAM, 3 Feb – Parti Amanah Negara (PAN) Selangor menganggap Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai tidak layak menjadi pemimpin berikutan kegagalannya menangani isu membabitkan pengagihan kerusi di negeri itu.

Pengerusi PAN Selangor, Izham Hashim, berkata Mohamed Azmin yang juga Naib Presiden Pakatan Harapan, mempunyai pemikiran silo, satu sikap negatif dalam seseorang pemimpin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mohamed Azmin yang menggelar PAN sebagai penipu dan sebuah parti yang tidak amanah apabila mengatakan pakatan pembangkang masih belum membincangkan pengagihan kerusi.

Izham berkata, jawatankuasa pilihan raya pakatan pembangkang tidak pernah membincangkan pengagihan kerusi seperti yang didakwa Mohamed Azmin.

“Tindakan menuduh PAN sebagai tidak amanah dan penipu tidak sepatutnya dilakukan olehnya (Mohamed Azmin), yang juga rakan dalam Pakatan Harapan.

“Kami tidak menafikan ada empat mesyuarat (yang dijalankan Jawatankuasa Pilihan Raya) sebelum ini tetapi mereka hanya membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

“Dalam mesyuarat, wakil parti berbincang mengenai hal pilihan raya dan bukan mengenai pengagihan kerusi.

“Mereka tidak diberi mandat untuk membincangkan pengagihan kerusi. Wakil kami sentiasa menyatakan setiap kali mesyuarat diadakan,” katanya.

Izham berkata, PAN turut menulis surat kepada Pengerusi Pakatan Harapan Selangor itu dan memintanya membincangkan mekanisme untuk menangani isu pengagihan kerusi tetapi Mohamed Azmin masih belum memberi maklum balas.

“Beliau mendakwa 80 peratus daripada kerusi yang sudah diputuskan tetapi kami (PAN) tidak tahu menahu mengenai perkara ini. Mohamed Azmin tidak pernah membincangkan isu dengan parti komponen sebaliknya memilih untuk bertindak sendirian,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply