Home Pertahanan dan Keselamatan 25,000 unit rumah mampu milik untuk anggota dan veteran ATM

25,000 unit rumah mampu milik untuk anggota dan veteran ATM

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 3 Okt – Kementerian Pertahanan menyasarkan untuk membina 25,000 unit rumah mampu milik untuk anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM)  di seluruh negara menjelang tahun 2030 menerusi Program Satu Anggota Satu Rumah (SaSaR).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, setakat ini, sebanyak 5,972 unit rumah dijangka dibina pada tahun ini dan tahun depan.

“Program SaSaR ini merupakan satu skim bagi mengurangkan kebergantungan anggota ATM terhadap penempatan kuarters sekali gus memberi galakan kepada anggota untuk membeli rumah sewaktu dalam perkhidmatan dengan nisbah 70 peratus anggota ATM dan 30 peratus veteran,” katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat semalam

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

Beliau menjawab soalan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) berhubung berapa jumlah projek perumahan untuk anggota ATM dan anggota veteran ATM telah dibina dan apakah perancangan atau skim yang diitawarkan bagi mengurangkan kebergantungan anggota ATM terhadap penempatan kuarters.

Hishammuddin berkata kementerian turut mengadakan perbincangan dengan pelaksana program rumah mampu milik antaranya Projek Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M) Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) dan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) untuk mempertimbangkan kuota bagi anggota ATM.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata menerusi Rancangan Malaysia Ke-11, sebanyak 12 projek Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) melibatkan pembinaan 3,272 unit rumah di seluruh negara bernilai RM1.276 bilion telah diluluskan dan dijadualkan siap pada tahun 2020.

Selain itu, katanya kerajaan turut meluluskan peruntukan khas berjumlah RM1 bilion bagi pembinaan 3,500 RKAT di 14 kem seluruh negara yang juga dijangka siap pada 2020.

Dalam sidang media selepas itu, Hishammuddin berkata kementeriannya telah mengenal pasti lokasi pembinaan hospital khas untuk anggota veteran ATM.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2018, Jumaat lepas berkata sebanyak RM40  juta diperuntukkan untuk menaik taraf lima hospital, membina empat poliklinik dan hospital veteran tentera. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply