Home SemasaGlobal Batu Puteh: Singapura Fail Pemerhatian Bertulis

Batu Puteh: Singapura Fail Pemerhatian Bertulis

by Air Times News Network

SINGAPURA: Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura (MFA) hari ini berkata, republik itu telah memfailkan pemerhatian bertulisnya mengenai permohonan Malaysia bagi interpretasi penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 berhubung kedaulatan ke atas Pedra Branca (Pulau Batu Puteh), Middle Rocks (Batuan Tengah) dan South Ledge (Tubir Selatan).

MFA dalam kenyataan berkata, Singapura memfailkan dokumen itu di ICJ semalam.

Menurut MFA, permohonan Malaysia yang bertarikh 30 Jun 2017 dibuat mengikut Perkara 60 Statut ICJ, yang menyatakan, sekiranya berlaku perselisihan berhubung makna atau skop penghakiman, mahkamah hendaklah tafsirkan apabila wujud permintaan daripada mana-mana pihak”.

Kementerian itu berkata, pemerhatian bertulis Singapura adalah komprehensif untuk mematahkan permohonan Malaysia bagi interpretasi penghakiman itu.

“Singapura yakin dengan kes itu dan pasukan perundangannya,” kata kementerian itu dan menambah langkah seterusnya berikutan prosiding bertulis itu adalah bagi kedua-dua pihak membentangkan hujah lisan sebaik ICJ menetapkan jadual bagi prosiding lisan.

Singapura juga melantik Hakim Gilbert Guillaume, sebagai hakim ad hoc berhubung permohonan Malaysia bagi interpretasi penghakiman ICJ yang diputuskan pada 23 Mei 2008.

Mengikut Statut ICJ, sekiranya tidak ada hakim dari negara yang menjadi pihak untuk menganggotai Panel Hakim Mahkamah, setiap pihak terbabit boleh memilih seorang hakim ad hoc untuk mengambil bahagian dalam urusan membuat keputusan berhubung kes berkenaan.

Hakim Guillaume adalah Anggota ICJ dari 1987 hingga 2005, serta menyandang jawatan Presiden ICJ dari 2000 hingga 2003.

Beliau kini adalah Anggota Mahkamah Timbang Tara Tetap.

Hakim Guillaume juga dilantik oleh Singapura sebagai hakim ad hoc bagi permohonan berasingan Malaysia bertarikh 2 Februari 2017 bagi semakan penghakiman ICJ pada 2008. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply