Home Pertahanan dan Keselamatan Kementerian Pertahanan tunggu pengesahan risikan – Hishammuddin

Kementerian Pertahanan tunggu pengesahan risikan – Hishammuddin

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Kementerian Pertahanan masih menunggu pengesahan rasmi Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung kematian Dr Mahmud Ahmad yang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran dengan tentera di Marawi City.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata walaupun perkara berkenaan disahkan pihak berkuasa Filipina, pihaknya tetap menunggu laporan risikan dikeluarkan BSPP ATM.

“Saya belum terima pengesahan daripada risikan kita mengenai laporan mengatakan Dr Mahmud terkorban.

“Walaupun ia disahkan pihak berkuasa Filipina semalam, saya tetap menunggu laporan pasukan risikan ATM,” katanya dalam sidang media ketika menghadiri Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Wisma Perwira di sini, hari ini.

Hishamuddin berkata, sebarang maklumat risikan yang diterima berhubung status Mahmud tidak akan mengubah usaha ATM ke arah mengekang anasir keganasan.

“Pihak polis bersama ATM menjalankan tugas dengan baik untuk mengekang anasir keganasan di negara ini.

“Kita baru selesai menyambut Hari Kebangsaan, Hari Malaysia dan penganjuran Sukan SEA (KL 2017), tiada insiden tidak diingini berlaku,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pertahanan konsisten dalam menyokong usaha mengekang pengaruh Daesh daripada menular di rantau ini.

“Kita sudah operasi pemantauan udara secara bersama antara Malaysia, Filipina dan Indonesia menerusi inisiatif Trilateral Air Patrol (TAP) 2017.

“Turut dijalankan sebelum ini adalah Trilateral Maritime Patrol (TMP), berfokus kepada pemantauan di kawasan perairan.

“Kita juga akan membawa isu keganasan dan pertempuran di Marawi ke Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN di Manila minggu depan,” katanya.

Semalam, tentera Filipina dilaporkan berkata, Mahmud berkemungkinan terbunuh dalam pertempuran tengah malam kelmarin yang mengorbankan 13 pemberontak.

Timbalan Komander Operasi di Marawi, Kolonel Romeo Brawner, dilaporkan berkata, siasatan lanjut masih diperlukan termasuk ujian saintifik dan menyoal tebusan, namun pihak tentera yakin Mahmud antara yang terbunuh.

Related Articles

Leave a Reply