Home Pertahanan dan Keselamatan 6,148 anggota RELA bantu pasukan keselamatan di 10 daerah ESSZONE

6,148 anggota RELA bantu pasukan keselamatan di 10 daerah ESSZONE

by Air Times News Network

LAHAD DATU, 29 Sept – Kerajaan bersetuju menggerakkan 6,148 pegawai dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi membantu operasi pemantauan pasukan keselamatan di 10 daerah Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sebagai permulaan 500 pegawai dan anggota RELA bakal dilatih dalam projek perintis yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menerusi pendekatan itu, anggota RELA akan menjadi barisan kedua pertahanan di ESSZONE, manakala agensi keselamatan lain kekal sebagai pasukan utama pemantauan dan operasi di kawasan terbabit

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

“Mereka (anggota RELA) tahu bentuk muka bumi selain lebih memahami setiap kawasan di situ (ESSZONE). “Bagaimanapun, aspek perundangan dan keselamatan memerlukan latihan, jadi ia akan dibuat secepat mungkin,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Penasihat ESSZONE, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim; Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jeneral Tan Sri Zulkefli Mohd Zin dan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali.

Yang hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri T Subromaniam; Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Indera Zulkifli Abu Bakar; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata jumlah anggota RELA yang akan digerakkan di ESSZONE adalah mereka yang dikenal pasti aktif daripada 121,888 anggota berdaftar di Sabah ketika ini. Lembaga Penasihat ESSZONE yang diurus MKN di Jabatan Perdana Menteri, diwujudkan ketika Mesyuarat Sidang MKN yang dipengerusikan Datuk Seri Najib Razak pada 10 Januari lalu.

Ia yang bertujuan memantapkan lagi mekanisme sedia ada, merangkumi semua daerah di utara dan pantai timur Sabah, iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Related Articles

Leave a Reply